Monday, 30 November 2015

Syukuri Nikmat Chenta



Alhamdulillah syukur. Hanya itu yang terbaik dapat aku ucapkan buat pengalaman dan pelajaran masa lalu dan masa kini yang sering aku rasai. sesungguhnya perjalanan hidup yang terindah dari kehidupan ini apabila kita sentiasa mensyukuri apa saja yang kita jalani tanpa rasa penyesalan yang mendatang. Memang hidup ini sentiasa di penuhi dengan pentas dan drama.
Pastinya aku bukan insan istimewa yang sentiasa di hargai oleh setiap orang. Tetapi aku juga insan biasa yang sering belajar untuk menghargai diri sendiri dan sentiasa bersyukur dengan segala nikmat dan rahmat darinya. Ketika terluka mungkin aku terlupa untuk selalu bersyukur. Aku pernah menjadi harimau terluka tetapi aku tidak membaham sesiapa. Aku hanya punya semangat juang harimau terluka yang bangkit memulihkan pedih dan perih. aku bangkit dari kejatuhan yang amat dalam. Lalu aku sentiasa mensyukuri nikmat kehidupan sebenar yang aku lalui kini.
Tatkala orang lain berbahagia dengan kejayaan mereka aku terlewat untuk meraihnya kerana terlalu meratap dengan kelukaan. Kerana terlalu taksub dengan chenta agung yang pastinya tercipta milik aku dan dia. Akhirnya aku sedari betapa hati yang sentiasa mensyukuri apa yang ada itulah sebenarnya hati yang penuh dengan rasa chenta.
Kadangkala aku terlupa tentang tujuan hidup ini. aku terlupa kehidupan ini lah sebenarnya chenta. kegagalan atau kejayaan keduanya perlu lahir dari rasa chenta. Aku perlu bersyukur kerana itulah jendela bagi mata hati untuk melihat keindahan ciptaan Allah. Aku sentiasa belajar untuk terus menadah tangan berdoa dan percaya tanpa mengeluh sebagai tanda bersyukur pada setiap yang datang dalam hidup ku.
Dulu aku sering berharap dan mengharap. kekadang harapan itu cuma kosong. kadang harapan itu  tak pernah pasti. Aku yakin tidak ada dosanya untuk aku terus mengharap tetapi aku juga tidak pernah terlupa untuk bersyukur apa yang aku ada. Mungkin itu lah kebahagiaan untuk ku. Sentiasa bersyukur walau apa saja yang datang dalam hidup ku. Sepanjang hidup ini telah juataan kali aku terima nikmat dan sesekali aku gagal tidak pernah membuatkan aku alpa untuk bersyukur. Terima kasih Allah atas limpahan nikmat mu. Aku yakin apa saja yang datang dalam hidupku dulu, kini dan selamanya ada keindahan yang tersendiri dan setiap yang berlaku itu ada nikmat yang menanti.
Disaat kesulitan mendatang aku tetap bersyukur dengan apa yang aku ada. di saat bahagia aku juga mensyukuri nikmat yang tercipta. Sungguh, aku bahagia begini. Aku sentiasa bersyukur dan bangga menjadi diri ku sendiri dan aku tidak pernah mahu fikirkan apa yang orang lain fikirkan tentang aku, maaf bukan aku tidak punya rasa tapi lebih baik begitu. Aku sering mengajak sesiapa saja untuk bersyukur kerana dengan cara itu lah kita akan melupakan kegagalan. Semasa jatuh, bangkitlah dan bersyukurlah kerana Allah memberikan kita kejatuhan untuk mengajar kita tentang nikmat dan pengertian pada kesungguhan.
Maka itu, aku akan sentiasa untuk bersyukur dan sentiasa berlapang dada untuk mensyukuri nikmat chenta agung yang pernah aku terima.
Maaf, jika sesekali aku terlupa dan selalu lah mengingati ku untuk bersyukur. Alhamdulillah.