Sunday, 13 December 2015

CHENTA PUTUS TERPAKSA


Tiba-tiba lagu ni jadi popular dan sedap di telinga aku. Tuh pun mungkin sebab nana menang gegar Vaganza semalam. Teringat kata nana semasa berdepan dengan dia last week. katanya..."Doa kan lah kejayaan nana semoga kejayaan ini akan memberi lebih kekutan pada nana untuk menharungi kehidupan yang semakin getir. Tahniah nana.
Aku mengenalinya tatkala dia masih di bangku sekolah lagi. Ayahnya, abang Alias sering datang ke pejabat aku dan mengajak aku minum. Masa tuh Nana baru nak jadi penyanyi. Kali terakhir aku bertemu dengan Nana dan arwah suaminya sewaktu persembahan di Jelebu kalau tak silap Rumah terbuka Hari Raya Parlimen Jelebu. Dia datang dengan suaminya. simple jer. Bila di beri bayaran atas persembahannya dia terus hulurkan bayaran tu pada arwah suaminya. 
Entry kali ni aku nak kaitkan kehidupan masa lalu aku dengan lirik lagu putus terpaksa yang memberikan kejayaan pada Nana di final GV semalam. 
Dalam banyak hal kita selalu melalui kehidupan chenta yang putus terpaksa. Seringkali kita tidak mahu ianya berlaku dalam kehidupan kita tapi ia berlaku juga. Kita tahu pasti ada hikmah terbaik kenapa ia berlaku tapi putus terpaksa tetap berlaku kerana kita tidak melawan takdir.
Pada satu peringkat kita akan bertanya semula kenapa kita mengalami situasi putus terpaksa itu, bukan kerana kita mengharap masa berputar kembali tetapi kita akan merungkai rasa dan nasib yang tidak menyebelahi kita. Mungkin sewaktu pelbagai persoalan yang datang kita tidak menumpukan sepenuh perhatian pada persoalan itu. Kita ambil mudah. Mungkin kita terlalu rindu tetapi kita mengambil mudah kerinduan itu sehinggakan dia terpaksa membuat keputusan yang tidak bagus untuk kita. Bila kita membiarkan saja keputusan itu ianya semakin parah dan barah itu tidak mungkin dapat di selamatkan lagi.keputsan yang tidak bagus untuk kita mungkin hanya untuk kita tapi bukan tidak bagus untuk dia. Jadi kita terpaksa juga merelakan apa saja yang di putuskan.
Begitu juga bila 3 persoalan yang kita terima, pastinya ada sesuatu yang di sembunyikan. Puas kita berlari mengejar matahari, puas kita berusaha mencari pelangi tetapi persoalan yang kita dapat tak semudah untuk kita rungkaikan.kadangkala orang yg timbulkan persoalan pun tak dapat jawab. Apatah lagi kita. Part ni memang kena kesiankan diri sendiri.
Waktu itu mungkin kita tidak pernah terfikir betapa terlalu rindu jugak boleh menyebabkan kita putus terpaksa. Kita mungkin dapat merasakan perubahan bila kata-kata dah tak setara.rasa dan masa seolah semakin berbeza. usikan danh semakin berbisa. Apatah lagi ada sesuatu yang terlarang menganggu perhubungan.
Semasa berlari di kaki langit kita akan merayu supaya beri lah belas ihsan atas jerih perih yang pernah kita lalui bersama. Demi masa depan yang lebih sejahtera berilah peluang dan kesempatan agar kita bermula sekali lagi. kalau telah jatuh bersamalah kita bangkit dan bangun untuk segala kesakitan yang membungkam jiwa. Pastinya peluang dan ruang itu masih ada. 
Kebiasaannya juga kita akan merasa kita terlalu kuat. Kita tak percaya pada kegagalan dan ketabahan membuatkan kita lupa pada kesakitan. Kita himpunkan doa-doa. Kita tunduk dan sentiasa kembali  bermohon untuk  membentuk masa depan bersama yang lebih cemerlang. Tapi malangnya kita tewas dan kalah pada ego bersama. 
Begitulah kadangkala hakikatnya, walaupun kita merasa kita terlalu kuat tapi mana datang kudratnya bila semangat kita di ambil dan tidak di kembalikan. Kita tidak akan menjadi pejuang lagi yang akan terus berperang untuk menentang segala kegagalan yang datang.
Adakalanya kita merasakan pengorbanan kita akan sentiasa di hargai. Pengorbanan kita akan memberi hasil terbaik. Tetapi, pengorbanan bukan itu maknanya. Pengorbanan maksudnya kita akan menghadapi sakit itu hingga ke akhirnya. Kita akan membawa rasa hingga ke mati. Ianya tidak sia-sia tapi akan menjadi sia-sia jika kita kalungkan pengorbanan dengan harapan. Sebelum kita melangkah pergi sepatutnya kita tinggalkan sepatah kata. kita ungkap kan rasa betapa pemergian ngeri ini akan terjadi juga nanti dan kita tidak lagi mampu berkongsi rasa, Kalau kita mahu kan pemergian ini penuh bermakna dan bererti pastikan lah kita berkorban kasih. kita putus terpaksa dengan penuh keikhlasan. Insyaallah satu waktu Allah akan ketemukan kita sekali lagi dalam situasi yang penuh indah dan bermakna. 
Tak mungkin sesiapa pun tahu, kita terpaksa juga meneruskan hidup. Demi masa depan yang lebih sempurna kita terpaksa berdepan dengan realiti kehidupan yang sebenarnya. Sekuat mana kita berlari sekuat mana kita mencari jika takdir tidak merelakan kita harus pergi. Lalu sampai masanya kita perlu undur diri.
Maaf, aku lelah mencari. Tiba masa aku terpaksa mengundurkan diri. aku terima kekalahan ini.

PADANG CHENTA


Lama dah tak berkisah disini. Selain takde idea terbaik masa jugak mencemburui aku. Sukar untuk mendapatkan saat kita boleh berlapang dada mengadap PC dan menulis mengikut naluri hati.

Tajuk padang chenta ini ada orang suruh buat lalu aku menulis tajuknya tapi isinya belum tentu tentang padang. Tak kiralah padang bola yang menyaksikan kedah tewas dalam Piala Malaysia 2 hari lepas atau padang golf yang selalu aku kunjungi untuk menghijaukan mata yang selalu merah. Merujuk pada kekalahan Kedah...aku ucapkan takziah pada kwn-kwn aku yang taknak sokong Selangor. Bukan sebab diorang tak suka Selangor atau kerana tidak mahu mengakui selango lebih bagus dari Kedah tapi semata kerana tak mahu jadi sekutu aku. Btw aku ucapkan tahniah pada diri sendiri yang konsisten menyokong Selangor sebab aku lahir di Negeri Selangor...hahaha

Padang Chenta dan padang golf mungkin ada kesamaannya. Aku tidak tegar untuk ke padang golf setiap hari. Aku juga tak lah pandai sangat main golf. Nak dapatkan single handicap perlukan pengorbanan yang besar. Perlukan latihan dan kemahiran yang konsisten. Swing kena sama. grip x blh terbuka. Stamina kena ada. Mental kena kuat. Itu perkara asas dalam permainan golf. Tapi sehingga kini aku tak mampu menjadi kan diri aku sebagus org lain. Mungkin aku dah terlewat atau aku tidak berlatih bersungguh-sungguh. Kadang pukul bola pun tak kena macam mana nak main bagus.

Aku sebenarnya tak tersengaja tersuka bermain golf. Sejak dulu aku tak berapa suka pada permainan ini kerana aku fikir permainan ini hanya untuk orang kaya dan orang yang lemah fikiran hakikatnya tidak. Memula mencebur kan diri dalam permainan ini...masa tu kat umah aku ada satu kedai korea milik pro golfer uncle Jung. Beliau merantau dari Korea untuk membuka kedai golf di Malaysia. ofcourse beliau merupakan seorang profesional golfer. Beliau memperkenalkan indoor golf di Seremban. Aku yang tak punya masa nak bersukan ni pun mula terjebak. Setiap kali balik kerja lepas maghrib aku akan lepak kedai dia. sambil lepak sambil pukul bola golf. Bila pukulan di atas karpet bersama komputer tuh menjadi aku mula minat. Start dari tuh uncle Jung mula mengajar aku cara bermain golf. Macam mana nak pegang kayu golf. masa pukul mata hanya tgk bola golf dan macam-macam teknik lagi,Sampai aku teror main indoor golf. Aku suka sebab tak perlu nak berjalan jauh atau naik buggy. hanya dalam bilek ada carpet dan ada screen besar pukul aje la bola golf tuh ikut sesuka hati. Sampai satu peringkat aku buat pertandingan indoor golf dan aku menang...hahaha.

Tapi mana lah sama hakikat main kat padang berumput yang pelbagai jenis dengan atas karpaet yang rata. Indoor golf mungkin kita akan pandai dan teror dari segi swing jer. Tapi di padang semuanya kita kena fikir sendiri. Kita kena fikir dan ikut naluri jarak antara bola dan pin. Kena fikir kolam dan bunker. kena fikir kelajuan angin dan struktur tanah. Menguji mental sungguh. Tapi itulah permainan golf sebenar.Bermula dengan tee off sampai putting semuanya mengajak kita berfikir. Kalau ada kecelaruan fikiran dan kita tak fokus atau fikir mender lain jangan harap la kita akan dapat permainan yang baik. Btw the golden rules in golf ...have fun. So, tak perlu lah nak beratkan kepala.

Ada banyak kategori orang bermain golf. Ada yang jadi pro. ada yang just cari makan. Tiap petang duk kat padang tunggu kawan datang ajak betting. ada yang hanya sosial golf. Main just sesuka. cari kawan, buat kawan, ada jugak yang coz of business. Kat opis sakit otak nak bincang. So sambil main golf boleh discuss.  Itu la kebanyakan orang buat. Tapi permainan golf memerlukan masa yang panjang. Satu permainan hanya duk kat padang setidaknya perlukan 4 jam. Kalau setiap hari buang 4 jam kat padang. Memang keluarga akan tertinggal. Tapi juga permainan golf banyak  mengajak aku menjelajah. Orang main golf memang suka travel. Pergi ke sana-sini untuk bermain golf. Sambil main golf sambil tengok tempat orang.

Golf jugak adalah permainan yang kita berlawan dengan minda kita sendiri. Kita akan score point berdasarkan permainan yang kita cipta sendiri sambil mengharapkan orang lain bermain lebih teruk dari kita mungkin. Apa pun golf bukan permainan saper kuat pukul bola atau saper pukul lebih jauh. Golf menjagak kita manage permainan kita dengan baik. Ada yang kita tak perlu pukul kuat pun.yang penting lurus dan berada di posisi jarak yang kita suka agar pukulan seterusnya menjadikan kita lebih mudah. Apa pun...putting atau penyudahnya lebih penting. kalau kita pukul 2 kali dah on the green tapi putting sampai 4 kali pun tak guna juga. baca line atas green tak semudah yang disangka. kelajuan bola dengan jarak lubang satu hal. struktur green dan grass yang mencengkam bola jugak perlu di kaji sebelum putting.

perghhh..entry kali ni. macam aku ni pro jer. Apa pun aku dah boleh main golf. Klau main dengan sesaper pun aku tak malu lah kot, sesekali pukul tak kena bola tuh biasa la. pukul terkuat or tak cukup jugak adalah biasa untuk sosial golf macam aku. yang penting have fun.
Kalau satu ketika aku menjadi putus terpaksa dalam permainan golf ni. aku akan merelakan sebab  its just a game. rasanya tak lah se sesakit putus terpaksa dalam keramat chenta kot. yer la....dalam hidup kita akan banyak kali menghadapi situasi putus terpaksa. bagaimana kita laluinya hanya kita ajer yang tahu.
Maaf: putus terpaksa menjadikan kita selalu tabah kata orang...tapi sebenarnya kita tidak punya pilihan lain selain dari menerima apa yang datang dalam hidup kita.

Monday, 30 November 2015

Syukuri Nikmat Chenta



Alhamdulillah syukur. Hanya itu yang terbaik dapat aku ucapkan buat pengalaman dan pelajaran masa lalu dan masa kini yang sering aku rasai. sesungguhnya perjalanan hidup yang terindah dari kehidupan ini apabila kita sentiasa mensyukuri apa saja yang kita jalani tanpa rasa penyesalan yang mendatang. Memang hidup ini sentiasa di penuhi dengan pentas dan drama.
Pastinya aku bukan insan istimewa yang sentiasa di hargai oleh setiap orang. Tetapi aku juga insan biasa yang sering belajar untuk menghargai diri sendiri dan sentiasa bersyukur dengan segala nikmat dan rahmat darinya. Ketika terluka mungkin aku terlupa untuk selalu bersyukur. Aku pernah menjadi harimau terluka tetapi aku tidak membaham sesiapa. Aku hanya punya semangat juang harimau terluka yang bangkit memulihkan pedih dan perih. aku bangkit dari kejatuhan yang amat dalam. Lalu aku sentiasa mensyukuri nikmat kehidupan sebenar yang aku lalui kini.
Tatkala orang lain berbahagia dengan kejayaan mereka aku terlewat untuk meraihnya kerana terlalu meratap dengan kelukaan. Kerana terlalu taksub dengan chenta agung yang pastinya tercipta milik aku dan dia. Akhirnya aku sedari betapa hati yang sentiasa mensyukuri apa yang ada itulah sebenarnya hati yang penuh dengan rasa chenta.
Kadangkala aku terlupa tentang tujuan hidup ini. aku terlupa kehidupan ini lah sebenarnya chenta. kegagalan atau kejayaan keduanya perlu lahir dari rasa chenta. Aku perlu bersyukur kerana itulah jendela bagi mata hati untuk melihat keindahan ciptaan Allah. Aku sentiasa belajar untuk terus menadah tangan berdoa dan percaya tanpa mengeluh sebagai tanda bersyukur pada setiap yang datang dalam hidup ku.
Dulu aku sering berharap dan mengharap. kekadang harapan itu cuma kosong. kadang harapan itu  tak pernah pasti. Aku yakin tidak ada dosanya untuk aku terus mengharap tetapi aku juga tidak pernah terlupa untuk bersyukur apa yang aku ada. Mungkin itu lah kebahagiaan untuk ku. Sentiasa bersyukur walau apa saja yang datang dalam hidup ku. Sepanjang hidup ini telah juataan kali aku terima nikmat dan sesekali aku gagal tidak pernah membuatkan aku alpa untuk bersyukur. Terima kasih Allah atas limpahan nikmat mu. Aku yakin apa saja yang datang dalam hidupku dulu, kini dan selamanya ada keindahan yang tersendiri dan setiap yang berlaku itu ada nikmat yang menanti.
Disaat kesulitan mendatang aku tetap bersyukur dengan apa yang aku ada. di saat bahagia aku juga mensyukuri nikmat yang tercipta. Sungguh, aku bahagia begini. Aku sentiasa bersyukur dan bangga menjadi diri ku sendiri dan aku tidak pernah mahu fikirkan apa yang orang lain fikirkan tentang aku, maaf bukan aku tidak punya rasa tapi lebih baik begitu. Aku sering mengajak sesiapa saja untuk bersyukur kerana dengan cara itu lah kita akan melupakan kegagalan. Semasa jatuh, bangkitlah dan bersyukurlah kerana Allah memberikan kita kejatuhan untuk mengajar kita tentang nikmat dan pengertian pada kesungguhan.
Maka itu, aku akan sentiasa untuk bersyukur dan sentiasa berlapang dada untuk mensyukuri nikmat chenta agung yang pernah aku terima.
Maaf, jika sesekali aku terlupa dan selalu lah mengingati ku untuk bersyukur. Alhamdulillah.

Sunday, 22 November 2015

FASHA CHENTA




Maaf, kata-kata kekadang menjadi nanar. Kenangan dan ingatan tak pernah terhapus, makin lama makin banyak titisan hujan.

Wednesday, 18 November 2015

STULANG CHENTA




“Abang, baliklah. Jangan sakiti hati sendiri lagi” kataku tatkala menghantarnya di stesen keretapi. Aku mahu dia pulang. Aku mahu dia setuju dengan tindakanku itu. Aku mahu dia bebaskan aku dari semuanya. Aku perlukan masa bersendiri untuk tidak menanggung siksa kerinduan ini lagi. Aku perlu ruang untuk melepaskan diriku dan tidak menghitung waktu menunggu ayat-ayat cintanya lagi. Aku juga perlukan perhatianku terhadap diriku sendiri untuk tidak keresahan memikirkan dirinya lagi. Semuanya seakan melemaskan aku. Seakan sesuatu yang tidak ada pengakhirannya. 

Tiap kali rindu bertamu, tiga persoalan yang aku berikan padanya dulu datang menghantui fikiranku.  Aku sendiri tidak temui jawapannya. Setiap kali wajahnya terbayang, baris-baris kata yang kutulis dalam surat terakhirku itu datang menghiris-hiris hatiku.  Segalanya ku pendamkan. Tidak ada seorang pun tahu bahawa aku masih mencintai dia.  
Maaf, aku mengusik rindu

Tuesday, 10 November 2015

BERUBAH CHENTA




Waktu itu aku tidak tegar langsung. Aku merelakan saja apa yang akan berlaku. Puas ku pujuk hati sendiri tetapi tidak pernah berjaya. Ku terima tinta bernyawa dan aku menulis puisi rindu. Aku pahatkan setiap sudut kata-kata indah agar ada belas untuk ku. Aku khabarkan setiap kesan dan ingatan dengan harapan dia juga akan berfikir apa yang aku fikirkan. Aku mengajaknya untuk mengenang semula segala kenangan indah bersama. Aku bercerita tentang sahabat baik ku yang gagal bertahan kerana tidak betah menganggung rindu. Aku khabarkan juga betapa org yang tersayang perlu berada disisi. kerana itu mereka gagal. 

Aku tahu, sedar dan penuh insaf betapa silap ku membiarkan rindu itu bersarang tidak di baja. Dia terlalu rindu sehingga jemu. Dia gagal bertahan kerana aku tidak hadir disisinya di saat dia perlu kan aku. Aku bercerita lagi betapa sahabat baik kami sering gagal dan tidak dapat bertahan kerana rindu tidak bertamu. Di masa mereka gagal, aku mengkaguminya kerana dia masih mampu tersenyum dan bertabah walaupun rindu sering menyapa dan datang seperti angin lalu. Dia memang terlalu kuat dan istimewa. Kerana itu, aku terlalu yakin betapa dia tidak akan berubah. Hatinya bukan mudah untuk di patahkan. Aku terlalu yakin tidak mudah untuk dia atau aku akan berubah. Kasih kami terlalu kuat  untuk di sangkal. Di Masa yang sama aku terlupa, dia juga manusia biasa seperti aku dan orang lain. Aku juga terlupa...di saat aku menyedari kasih semakin menjauh, di ketika itu juga dia telah bernekad untuk mengakhirinya.

Semasa aku cuba bertahan dan mengharapkan agar dia datang kembali. Aku sering biarkan waktu terus berputar, aku cuba menyintainya dengan penuh rasa sabar. Aku tidak kuat untuk menghadapinya tapi apa pilihan yang aku ada selain dari merelakan. Apalah maknanya jika kita menyayangi seseorang sedang kan kita tidak boleh untuk berkorban demi kebahagiaannya. Memang tidak tertanggung kesakitannya tapi aku sentiasa memilih untuk terus bertahan.Aku ikhlas dan kepada Allah aku berserah agar menunjukkan jalan. 

Rasa ini terlalu agung dan amat besar. Aku hayati semua itu dengan penuh rasa syukur. aku yakin dia juga merasakan apa yang aku rasa. Menghadapi saat-saat sukar itu begitu payah. Saban malam aku hanya berteman airmata. Aku sering tertanya apakah salah dan dosa ku sehingga hati yang bersatu ini boleh terpisah dan berubah. Kesanggupannya meninggalkan ku seolah tiada langsung rasa kasih dan kasihan. Aku akui aku tidak berusaha sekuatnya untuk menggenggam kasih itu sehingga ke penghujung dunia. Aku merelakan Tuhan menariknya sekuat aku mengenggamnya.

Kekecewaan ini menyebabkan aku menjadi manusia yang tidak seperti manusia lain. Aku lebih banyak menyendiri dan aku lalui hidup sehari-hari tanpa arah. Aku ingin terus bertahan walaupun dunia tahu aku tidak mampu untuk mempertahankan. Menyedari hakikat kehidupan, aku tahu tidak siapa ingin berubah, tidak dia dan tidak juga aku. Aku tahu, dia telah mencuba untuk tidak berubah, tetapi di masa yang sama dia merelakan setiap keindahan milik kami hilang begitu sahaja. Sedikit pun dia tidak sudi untuk memikirkannya lagi. 

Setelah sekian lama kami dapat berbicara mengenainya secara terbuka.Pasti ada airmata yang tumpah. Tanpa niat untuk mencari salah kami berbicara tentang resah dan kesilapan kami bersama ketika itu, Setiap kali bercerita dia akan memohon maaf kerana tidak menghargai kasih suci itu. Sungguh,  tidak senafas pun aku izinkan rasa bersalahnya menyelubungi jiwa. Tidak pernah aku anggap dia bersalah. Keramat yang wujud bukan kerana kami menafikan ianya telah berakhir hakikatnya memang ianya tidak pernah berakhir. Masakan ianya telah lenyap jika aku masih berada di sudut hatinya. Cuma selama ini kami menafikannya. Betapa takburnya kami kerana berani menipu diri sendiri.

Selama aku menghadapi ini semua, aku menghadapinya sendiri. Jika aku bercerita tidak ada sesiapa yang dapat merasakannya. Aku terlalu terhutang budi padanya kini kerana sudi menerima aku sebagai sahabat sejati dan di masa yang sama sudi mendengar setiap rintihan, Meski setiap kali aku merintih akan hadir airmata yang tumpah. aku tahu tidak adil padanya dan tidak bagus untuk di hadapi kini setelah sekian lama berlalu. Meski airmata darah yang tumpah ianya tidak akan membunuh realiti hidup kami. 

Nikmat apa lagi yang perlu aku dustakan. Tatakala aku merintih dia memahaminya, dia mendengarkannya. Dia menyelami bagaimana aku terlalu lelah mencari sinar dalam kegelapan. Meskipun rintihan itu membuatkan dia terus rasa bersalah dan aku menafikannya dan jika ada pun sekelumit salahnya pada aku telah lama aku hapuskan. Dia tidak pernah berdosa. Malah kesanggupannya menyelami isi hati membuatkan aku lebih kagum dan lebih berbangga kerana pernah memiliki hatinya. Biar tidak bersatu itu tidak menghalang menjadikan kami lebih bahagia. Sungguh, Allah lebih tahu.
Maaf, Aku berbangga dengan chenta agung ini kerana di beri peluang untuk terus mengasihi meski tidak memiliki.  

Friday, 6 November 2015

GUGURNYA BUNGA CHENTA

Wan Sunira,nama itu terlalu manis. Aku tidak mengenalinya secara peribadi, tetapi aku sering mendengar cerita dan bertanya berita tentangnya. Aku tahu dia seorang gadis yang tabah. Setabah dan sekuat dirinya yang menangung derita. Bukan hanya menangung kesakitan tetapi juga menanggung beban rasa.Aku yakin tidak semua dapat memahami gelodak yang mencengkam jantung hatinya. Tidak sesiapa juga yang dapat mengubat bebat rindu dalam dirinya. Setelah puas berperang dan bergelumang dengan kesakitan akhirnya dia pergi jua. Salam Takziah aku titipkan. Kesetiaannya pada rasa membuat aku sedar betapa tidak semua orang mampu membahagiakan kita. Damai lah di sana...AlFatihah.

Gugurnya Kelopak Bunga
(Al Fatihah buat adinda tercinta Wan Sunira)

Melihat sinar matamu
Kian pudar cahaya warna
Kian redup renungannya
Menyimpan segala rahsia
Rahsia sejuta makna.


Cahaya di mata itu dahulunya
Sangat ketara sinarnya
Lembut menyentuh anak-anak kami
Penuh kasih
Penuh cinta.

Engkaulah adik engkaulah kakak
Menjadi nadi sebuah keluarga
Menyatu hati dan cinta kami.

Tatkala mekarmu disuntingan orang
Kami iringkan doa harapan
Bersama paluan rebana, kompang dan qasidah
Namun kita layaknya hanya berdoa
Rahsia besar tetap tersimpan
Belum pun sempat mengaminkan doa badai datang bawa gelora
Menghimpunkan segala kesedihan
Berat yang memandang
Hanya engkau menggalas beban.

Tatkala kelopakmu layu ditinggalkan
Engkau masih menguntum senyuman
Hadiah buat kami yang kepiluan
Engkau masih membelai mesra
Hadiah kasih buat anak-anak kami
Engkau masih mampu bertahan
Hadiah cinta seorang bonda

Kini hati kami runtuh
Melihat kelopak- kelopakmu berserakan
Tiada kuntum senyuman
Tiada suara kasih
Tiada kekuatan
Walau untuk membuka mata.

Dalam doa kami panjatkan
Kedamaian istirehat yang panjang
Mengorak langkah kesembuhan
Biar tempohnya agak panjang
Kami redha di sini seredha engkau mengharunginya
Hingga nyawa kita dijemput Ilahi.

DNA
4 November 2015
Catatan sepanjang perjalananku mengejarmu.
Putrajaya - Johor Bharu
Bersama renyai hujan kami tiba di Hospital Sultan Ismail JB.
Namun engkau telah tiada.
Pergilah adikku Wan Sunira disaat hati-hati kita berdakap.

Monday, 2 November 2015

Sahabat Chenta






Kami memang ramai sahabat. Ramai sahabat yang merestui hubungan kami. Memang seronok bila apa yang kita hajati akan kita capai. Kadang kala tak sedar pun betapa kita telah melalui tempat yang sama suatu masa dahulu.
Berbicara tentang sahabat, semasa kami bermula menyuntik hati memasing dgn rasa, ianya hanya bermula dengan usikan kecil rakan2. Ianya hanya bermula dengan surat chenta palsu yang menjadi arahan mandatory. Tidak pernah kami berbicara secar terbuka. tidak mungkin kami bertemu mata dan berbual mesra. Kami hanya mencuri pandang tatkala berada di dewan makan seusai waktu persekolahan. Keluar dari pintu kami akan sentiasa memandang ke hadapan...mana tau kelibatnya akan lalu..itu hanya aku tapi tak mungkin dia.
Aku memang gembira bila hampir kesemua sahabat aku merestui hubungan ini. Kalau pun ada yang tak restu semua tersemat dlm naluri masing-masing. Tidak ada pun yang menyatakan bahawa aku tidak layak atau dia lebih hebat. Semuanya mendoakan yang terbaik. Telah ku pahatkan sebaris sajak utk mereka agar terus percaya dgn watak nujum pak belalang.
Sebaliknya berlaku pada dia. Tak semua rakannya yang merestui kami. ada yang terus mengatakan aku tidak layak untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengannya. walaupun dia memang lebih rendah dari aku. Tapi apa yang perlu kami kisah kan. Kami tidak pernah menyatakan hasrat hati secara terbuka. Kawanya yang tidak merestui juga ada betulnya. Kenakalan ku membuatkan mereka terasa betapa hati ini tidak layak untuk di huni seorang puteri. Mungkin terlalu besar penunggu di situ.
Kerana itu, kami menyembunyikan segalanya. kami hanya bertemu sewaktu hujung minggu. Aku akan buat anggaran masa. Naik bas ke daerah sang pertaka. Menunggu di terminal sambil memerhati orang lalu lalang. Bila nampak kelibat dirinya menaiki bas aku akan segera berlari mengejar bas yang sama dan terus duduk di sebelahnya. Seringkali aku membuat kejutan begitu. Jika tidak aku hanya menunggu bas yang datang dan akan menegurnya dari belakang. Itu kisah kami yang menyembunyikan rasa hati masing-masing agar tidak ada sesiapa yang bersuara dan menilai hubungan suci ini.Agar pertemuan yang penuh kejutan itu akan jadi ingatan dan nama ku sentiasa akan terukir di hatinya.
Maafkan kami teman-teman, bukan mudah menyembunyikan rasa hati tapi lebih mudah mengelakkan cemuhan sebenarnya.

Thursday, 29 October 2015

Merobah Takdir chenta

Siapa yang tak terasa. Kecuali orang yang tak de perasaan jer yang tidak akan berasa kecewa melihat apa yang berlaku.Hari ini aku ingin mengimbau sedikit kenangan saat bermulanya detik perpisahan antara aku dan dia. Mungkin ianya tidak bagus untuk kami. Sepatutnya di lupakan terus. Tetapi sebagai kenangan dan menjadi ingatan apa salahnya. aku yakin kami terlalu kuat untuk menahan emosi ini. Kami sentiasa sedar ruang dan sentiasa memilih untuk bersikap profeisional dalam menghadapi dan bercerita tentang ini semua. Meski kekadang akan mengalir air mata jernih tetapi itu tidak bermakna kami menyalahkan takdir atas apa yang terjadi. Apatah lagi untuk mengharapkan yang berlalu itu datang kembali. 
Meski ada hati yang perlu di jaga. Aku harap satu hari nanti semuanya akan memahami betapa kisah ini terlalu istimewa buat kami. Bukan kerana kami mahu merosakkan hati sendiri dan hati insan2 tersayang terutama malaikat di hati. Tapi, kesinambungan dari kisah ini lah yang memberi nyawa pada kami untuk terus hidup dan bernafas bahagia seperti yang di inginkan oleh semua orang yang memahami kami.
Sehabis lelah menghadapi exam akhir, kebasahan sepanjang malam menarik beg menaiki bas untuk pulang ke kampong halaman. Sampai depan rumah terus berlari semula mengejar keretapi. Tanpa kenal erti lelah aku menunggunya di tempat yang di janjikan. Dia datang dengan seorang teman. Aku melihat dia berpimpin tangan. aku resah dan kecewa tapi dapat aku menahan gelora.
Aku terlalu rindu sebenarnya. Tapi kerinduan itu terpaksa ku pendam kerana melihat kebahagiaannya bersama insan lain. Bukan sikap ku, yang akan memberontak pada insan tersayang meski pun lelah ku menemui nya di balas dengan racun tujuh lautan. 
Waktu itu aku lupakan kelelahan untuk hadir di sisinya bukan untuk merebut, aku yakin waktu itu aku tidak pernah kehilangannya. aku yakin rasa itu masih kuat, aku yakin dia tidak pernah berani untuk berubah, aku yakin aku cukup istimewa di hatinya jika hendak di bandingkan dengan David Beckham sekali pun. Datanglah mana-mana lelaki sekali pun, bukan mudah untuk mematahkan cinta kami. Aku yakin dengan diri sendiri dan aku yakin dengan dirinya yang sekian waktu aku kenali.
Tetapi keyakinan ku hanya setakat itu. Keyakinan yang terlalu kuta itu lah yang membunuh rasa ku. Keyakinan itu mula terhapus dangan kehadirannya bersama seseorang yang tidak aku kenali. Aku tdiak pernah mahu ambil tahu siapa dia. Kehadiran waktu itu hanya kerana aku terlalu rindu. Untuk menjawab 3 persoalan pun aku rasa tidak perlu kerana di saat kelelahan begitu aku tidak perlu memikirkan yang lain selain rindu yang terpendam.
Melihat kegembiraannya, aku jadi lemah kerana gembira itu bukan kerana aku. Masa ku rasa terlalu lama berlalu. Aku bukan lagi yang teristimewa di hatinya. Aku sedar itu, aku hanya ingin berbicara dengannya berdua tetapi dia menolak nya dengan baik. dan aku terima dengan baik. Aku tidak fikir langsung kehadiran ini bukan sebaik waktu untuknya. Mungkin aku tersilap perhitungan. Atau aku terlewat menghargai rindu. 
Pertemuan petang itu di akhiri dengan pelbagai persoalan lain yang timbul. Tetapi, aku tidak perlu untuk mengindahkannya kerana tidak mungkin rasa itu sudah tidak ada. Kami berpisah dengan janji untuk bertemu lagi. Untuk pertama kali aku merelakan dia pergi bersama orang lain. Dan rupanya itu lah kerelaan dalam keterpaksaan yang membawa segala bencana dalam hidup ku selepas itu. Selepas ini pasti nya segalanya ada lah dusta belaka.
Selepas itu aku menumpang di kamar rakan baik ku. memikirkan sisa rasa yang tinggal. Terlena dalam kelelahan dan keresahan yang berpanjangan. Tanpa rasa dahaga dan lapar aku kebingungan dan aku hanya berdoa saat itu agar awan hitam segera berlalu. Aku hanya mampu untuk mengharap agar kekuatan rasa yang ada terus bertahan. Aku masih berpegang pada pesan org tua ku. Menjadi lelaki kena berani, menjadi lelaki perlu setia. Dan apa lah erti nya kehidupan tanpa rasa. Apakah maknanya perjuangan hidup dan cita-cita yang aku usahakan jika terpaksa mengorbakan rasa yang ku genggam selama ini.
Aku yakin juga dia tidak buta hati dalam melalui hari berlalu. Dia juga berhak memilih jalan hidupnya sendiri. Tida ada sesiapa dan tidak juga aku yang berhak untuk mempertikaikan kebahagiaan hidupnya yang lebih sempurna.Kalau nanti kerana dia berubah hati dan aku gagal dalam hidup, itu bukan salah dirinya tetapi kerana aku tidak berhak dan aku tidak mampu untuk mengimbangkan antara cinta dan cita-cita.
Sebenarnya aku juga tidak tahu, kehadiran ku waktu itu bukan waktu yang tepat dan mengembirakan. Waktu aku hadir sebenarnya dia telah nekad untuk membuang aku dari hidupnya. Kononnya waktu itu dia akan mempunyai insan lain yang lebih istimewa dan lebih segalanya dari aku. Dan pasti waktu itu aku tidak punya apa-apa. Tiada apa langsung kelebihan yang ada pada diri ku di matanya. Aku bukan lagi insan yang bertahta di mata beraja di hati baginya.
Sampai sekarang sebenarnya aku merasa hairan bin ajaib. Kenapa dia boleh berubah begitu. Dia yang aku kenali tidak begitu. Jauh dari peradaban dirinya yang sebenar. Jauh dari seorang insan yang ku kenali dan cintai.
Semasa menemuinya waktu itu aku melihat betapa tidak ada keserasiannya kami. Dia seakan terlupa langsung insan yang bertahta di hatinya. Riak wajah yang amat tidak menyenangkan dan ketegasan yang amat meloyakan. Siapa yang mahu percaya dengan sekelip mata dia berubah sebegitu. Tidak aku dan tidak juga sesiapa. Tapi itu lah yang berlaku. Membawa kesan yang terlalu besar hingga merobah takdir hidup kami.  
Maaf, detik ini terlalu sukar untuk di lalui.      

Tuesday, 27 October 2015

PENGORBANAN CHENTA


  
Hari ini aku ingin bercakap tentang pengorbanan. Aku bukan pakar tentang chenta. Tetapi kegagalan membuat kan aku banyak belajar tentang manis dan makna chenta. Aku yakin chenta perlu di beri dengan rela dan terbuka. Sesekali chenta memerlukan permintaan yang tidak dapat kita berikan maka itu terjadilah pengorbanan. Bila pengorbanan berlaku pastinya ada hati yang terluka dan kecewa. Bagaimana untuk menghadapinya tidak ada siapa yang mengerti selain dari diri sendiri yang menanggung kesengsaraannya.
Sejarah kehidupan telah memperlihatkan semua hal tentang kerakusan, kesombongan, kekejaman, keikhlasan, pengorbanan, dan daya juang di mana semua itu aku terpaksa hadapi dengan penuh rasa. Seringkali aku terpaksa melihat wajah sendiri di cermin. Mencari kekurangan diri dan memperbaikkinya. Namun akhirnya aku mengerti sebagai manusia biasa aku lebih bernafsu membuat sejarah tetapi aku tidak pernah mahu belajar dari sejarah yang pernah tercipta untuk ku. Memang kadangkala situasi membuat kan chenta terasa amat menyakitkan, akan tetapi chenta keramat dan sejati tidak akan pernah berakhir lalu pengorbanan yang terpaksa di lalui akan menjadi teras pada kekuatan chenta itu. Chenta rupanya tidak mengenal batas, chenta mampu menjadikan kita sebaik manusia hingga sekeji umat, walaupun chenta hanya bertepuk sebelah tangan.
Semasa kita melaku kan pengorbanan kita akan merasa yakin betapa pengorbanan itu adalah jalan terbaik untuk melihatkan orang yang kita sayang akan merasa bahagia, tetapi kadangkala ia tidak jadi begitu. Setelah puas berkorban kita akan merasa lebih kecewa bila kita tahu bahawa pengorbanan kita sebenarnya telah di khianati.
Dalam banyak hal kita perlu mengerti dan bersujud untuk mengerti bahawa Chenta adalah chenta, bukan pengorbanan. Perasaan yang hadir perlu di jaga dan di belai. bukan di tolak atau di bunuh. Tidak juga boleh berteka teki dengan 3 persoalan yang tiada jawapan. Ada katikanya kita akan terpaksa melakukan pengorbanan Dia membuat pengorbanan. Aku membuat pengorbanan. Kita semua membuat pengorbanan. Aku sering merasa marah atas pengorbanan yang pernah aku berikan. aku selalu memikirkan apa yang telah aku korbankan. Mungkin waktu itu aku tidak pernah mengerti. Pengorbanan sebenarnya adalah sebahagian dari kehidupan. sewajarnya begitu. Bukan sesuatu untuk disesali. Tapi sesuatu untuk didambakan agar seandainya kita pergi satu hari nanti. Roh dan jasad yang berpisah, tetapi ingatan orang pada pengorbanan kita akan terus mekar selamanya. Maka itu relakan lah diri untuk terus berkorban demi kebahagiaan orang-orang yang kita sayang. Lebih besar pengorbanan yang kita lakukan maka akan lebih besar kejayaan yang akan kita dapat meski pun kita telah tiada.
Kita juga tidak boleh untuk menyalahkan chenta, kerana sesungguhnya chenta tidak pernah meminta untuk menunggu. Chenta perlukan kebijaksanaan kita untuk mengambil kesempatan atau mempersilakan rasa untuk hadir tanpa rasa malu dan segan. Ia memerlukan hanya sedikit keberanian utuk kita mengubah takdir hidup sepanjang hayat. Itu juga adalah pengorbanan. Dan percayalah, mencintai tidak bererti kita harus memiliki. kerana keberadaan kita yang seketika juga kadangkala lbh manis dari kita memiliki sepenuhnya.
Kalau terlalu sukar untuk kita memahami tentang erti chenta sebaiknya kita lupakan saja. Jika ada kekuatan bakar lah semua kenangan. Campak kan lah sejauh mana memori indah yang pernah tercipta kerana itu memang satu cara untuk kita melupakan. Tetapi, jangan terkejut jika selepas kita melupakan, ia datang kembali kerana chenta sejati tidak akan pernah untuk mampu hilang atau terus pergi walau pun di paksa sekeras mana. Chenta sejati selalunya hanya sederhana. Pengorbanan yang sederhana kesetiaan yang tak menuntut apapun dan keindahan yang apa adanya pada kita bersama.
Kalau mahu melihat pengorbanan sejati, lihatlah wajah ibu kita. Kalau kita mengerti, ibu telah banyak berkorban tetapi pengorbanan yang ibu beri tidak pernah kita tahu kalau pun kita tahu itu hanya satu persepuluh dari keseluruhan chenta ibu dan pengorbanan ibu pada kita.
Jangan takut dan jangan gusar untuk terus berchenta. Rasailah nikmatnya. Agungkan lah keindahan yang terbina. lupa kan seketika jika kita perlu melakukan nya. Jangan bimbang chenta sejati akan datang semula dalam hidup kita selepas badai berlalu pergi.
Maaf, semakin banyak yang kita tahu rupanya semakin banyak yang kita perlu pelajari makna chenta.

Bergelora chenta

N3 ini khas buat seorang sahabat baik yang sentiasa bersama dalam susah dan senang. Sejak kecil berkawan sampai lah dah tua nie. Sering terputus hubungan tapi tidak menghalang persahabatan terus terjalin.
Terima kasih sahabat kerana tidak pernah lelah dalam mendoakan yang terbaik. Samada lagu ni sesuai atau tidak untuk aku dan dia tak penting pun. Yang penting n3 ni untuk seorang sahabat yang mengingati dan menghargai selalu.
Maaf sahabat...kdg lena yg panjang membuat kita sering bermimpi ngeri.

Monday, 26 October 2015

CHENTA AYAH

Dia seorang ayah. Terlalu lama jarak dan masa meninggalkan senyuman dan tingkahnya yang bersahaja. Aku jarang menemuinya. Selepas peristiwa itu langsung aku tidak menemuinya. Bukan tidak mahu tapi rasa malu yang terlalu tebal atas kegagalan. Dia memang tersendiri. Tidak bercakap banyak hanya tersenyum penuh makna.
Dia adalah seorang ayah yang luar biasa walaupun mungkin dia ayah yang biasa pada pandangan mata orang lain tetapi bagi ku dia seorang yg amat luar biasa. Usianya yang jauh itu membuatkan aku memandang kepada kasih sayangnya yang luar biasa. Zahirnya mungkin nampak seperti tiada apa-apa. Tetapi hakikatnya banyak perkara besar yang terlindung dari penglihatan. Aku harap tidak akan wujud mata hati yang buta yang melihat kelebihan yang di milikinya. Sejak sekian lama aku ingin menemuinya. Aku ingin mencium tangan yang merestui ku dulu. Aku terlalu ingin melafaz kan kata maaf kerana tidak berjaya menjadi sebahagian dari senyuman nya. Alhamdulillah, hasrat dan kemahuan itu di tunaikan. Aku temuinya selepas solat. Masih seperti dulu juga. Senyum dan bersahaja. Ingatanya terhadap ku terlalu kuat. Aku menjadi malu sendiri kerana dlm usia yang sebegitu dia begitu gagah menyusur langkah.
Aku berdoa agar aku di anugerahkan usia, ingatan dan kekuatan seperti dirinya. Pasti dulu tubuh kekarnya begitu kuat tetapi sekarang mulai melemah tetapi masih terlalu kuat untuk org seusia dengannya. Aku yakin dia telah mempertaruhkan seluruh kehidupannya untuk membesarkan anak-anaknya agar menjadi orang berjaya. Dan dia boleh tersenyum untuk itu. Aku harap aku tidak buta melihat kekuatan seorang ayah sepertinya. Adalah lebih baik buta daripada kita tidak nampak kasih sayang yang luar biasa yang dimilikinya. Dan kasih sayang itu tidak akan dapat di lihat pada mata tetapi hanya mampu di rasa dengan hati yang tulus dan ikhlas.
Selepas bersalaman dan mencium tangannya ada tanda kepuasan yang aku rasa. Aku akan sentiasa mendoakannya agar terus sihat dan bahagia sentiasa di dunia dan di akhirat. Maaf kan aku atas segala kekhilafan dan tidak menjadi seperti yang kau mahu seperti restu yang kau berikan untuk ku.
Maaf, kami terkhilaf dalam mengatur langkah dunia.

Thursday, 22 October 2015

CHENTA TERBAIK


Bertemu, berchenta, berpisah, bertemu semula dan menjadi sahabat terbaik. Lengkap mungkin kehidupan dan sejarah hidup yang pernah kami lalui bersama., Moga pertemuan kembali ini akan kekal selamanya. Aku pohon padanya agar jangan pergi lagi. Mungkin Allah memberi anugerah terbaik nya untuk ku. Dan aku akui ini merupakan anugerah terbesar yang pernah aku miliki. Kata seorang sahabat, jagalah persahabatan ini dengan baik kerana tidak semua orang mampu dan dapat memilikinya. 
Kami harap moga-moga selepas ini kami akan bermimpi noktah yang sama dan akan kami serahkan senyuman manis setiap subuh pada malaikat di hati. Memang benar rasa ini terlalu kuat dan terlalu dalam. Pastinya kami perlu persefahaman yang jitu agar ia nya tidak lari dari hakikat kehidupan sebenar. 
Semasa aku kehilangannya dulu aku sering merasakan dia sentiasa ada disetiap sudut, memerhatikan ku dengan senyuman di saat aku bahagia dan selalu berkaca di matanya disaat melihat aku derita. Dia sentiasa ada sebenarnya di saat susah dan senang ku. Cuma dia tidak menjelma. Bukan takut pada kata maaf tetapi takut langkah silap itu perlu di perbetulkan, Dan jika tersalah arah akan membawa bencana yuang lebih besar. Pasti aku tidak mahu sesekali itu terjadi. Seperti yang aku katakan sebelum ini. Pertemuan ini adalah pertemuan bahagia bukan derita. Mungkin tidak mudah untuk aku menafsirkan luka. Tetapi, menjadi sahabat kadangkala lebih istimewa dari memiliki. Sejak dulu dia telah menerangi hidup ku. Dan aku tidak pernah tergamak membuang lampu usang itu meski pun cahayanya telah tiada.
Dalam melalui hari-hari berlalu aku sentiasa mahu menjadi yang terbaik untuk sesiapa saja. Apatah lagi untuk insan teristimewa. Aku berusaha, bekerja keras agar tidak wujud sengketa. Tidak meremehkan setiap katanya walau sesekali aku rasakan aku masih terlalu kurang dan jauh dari kemampuan untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan dirinya. Setiap kali dia menceritakan pada ku saat sukarnya. setiap kali itu jugak aku merasa untuk membantu dan mengambil alih kesukaran itu. Aku sentiasa ingin menjadi yang terbaik untuknya. Rasa itu bukan sekarang tetapi sejak dulu. dan aku terlalu ingin menjadi begitu. Walaupun aku tahu ada ketikanya aku tidak berkemampuan langsung untuk jadi begitu.
Di saat dia tersenyum dan menangis. Aku sentiasa ingin berada disisinya. Itu tak mungkin terjadi. Tetapi cukup lah aku sentiasa ada dan sentiasa berada di mana-mana dalam hatinya. Begitu juga yang aku harapkan pada dirinya. Aku sentiasa mendoakan agar malaikat di hatinya melakukan hal yang sama. Sentiasa menjadi yang terbaik untuk dirinya. Aku tahu dengan cara itu dia akan sentiasa merasa bahagia. dan aku akan selalu bahagia melihat kebahagiaannya.
Aku sentiasa bersyukur dengan apa yang ku lalui. Pertemuan semula ini  merupakan satu anugerah terindah. Kehadirannya menjadikan hidup ku lebih bermakna.
Maaf, aku sentiasa ingin menjadi yang terbaik. meski kegagalan sering menghampiri. Namun aku sentiasa mensyukuri nikmat yang tak di dustakan. nikmat terbaik dan terindah.



Tuesday, 20 October 2015

Ingatan Chenta

Melalui hari-hari berlalu, kekadang kenangan pahit dan manis menjenguk pemikiran. Mana mungkin dapat di lupakan semua itu, apa tah lagi sepanjang tempoh 6 tahun itu segalanya di lalui dengan tulus dan ikhlas. Tanpa sedikit pun ada rasa curiga setiap saat di lalui dengan wajah jernih penih kerinduan. Setiap kali terpandang talipon, fikiran akan melayang dan tertanya mengapa dia tidak menalipon aku.

Rasa rindu itu sebenarnya menjadi kan kami semakin rapat, membiarkan kami sentiasa ingat. Tidak ada sedetik pun rasa curiga dan tidak langsung terfikir satu waktu ada di atara kami akan berubah hati. Biarlah datangnya putera atau puteri dari langit ke tujuh namun hati tetap satu. Tidak akan mudah berubah. Itu janji kami. Itu impian yang pernah kami lafazkan. Sewaktu melafazkannya pula langsung tidak terfikir betapa kami juga manusia biasa yang sentiasa boleh berubah. Mungkin juga sebelumnya kami tidak di duga dengan rasa cemburu atau gangguan insan lain yang cuba mematahkan rasa chenta kami. Kalau ada pun kami akan sentiasa menghormati antara satu sama lain. Kami menjadi terlalu kuat berpegang pada prinsip betapa kesetiaan perlu di julang hingga ke akhirnya. Aku yakin saat itu, aku menyintainya kerana apa adanya. Kerana kekuatan hatinya. Kerana dia sentiasa menjadi dirinya sendiri. Jarak yang memisahkan bukan lagi halangan untuk kami terus bersama.

Mungkin juga kami tidak pernah menyakiti hati antara satu lain. Tidak ada kata yang lebih sakit selain dari kata `sayang' dan `rindu' yang sering keluar dari hati kami. Dan tidak pernah terfikir juga rasa ini sebenarnya hanya debu halus yang dengan mudah dihembus dan disebar angin.

Aku pernah menyesali bila sesekali teringat tingkahnya yang tiba-tiba menjadi bukan dirinya. Tiba-tiba dia terlupa kami hanyalah satu. Dia terlupa bagaimana akibatnya jika kehilangan  rasa kasih dan sayang.Tetesan air hujan yang mengalir sudah tidak bererti. Itu bukan tetesan rindu lagi. Kami pernah menangis kerana terpisah untuk mengejar impian, tapi bukan ketidakpastian rasa yang bakal kami harungi bersama.

Sesekali aku terlalu ingin saat itu berulang kembali, aku ingin mengulangi waktu dimana kami selalu bersama seperti yang dulu tetapi sesekali teringat pula saat kesakitan melanda. Tiba-tiba chenta yang dalam itu menjadi begitu rumi bagiku, dan hatiku semakin sakit semenjak dia mula berteka-teki tentang rasa, impian dan harapan.

Disaat dia tidak mahu mengalah dan tidak mahu berbicara lagi soal keindahan dan impian bersama, aku terkedu malu dan melemparkan diri menahan kesakitan. Mungkin itulah cara ku menunjukkan kasih sayang kepadanya, hanya menunggu, Setia, dan percaya.

Seringkali teringat akan hal-hal dulu bersamanya, Setelah sekian lama berlalu seakan  semuanya bersemi kembali, dan akupun ingin hal-hal itu kembali lagi. Masih jelas dalam ingatan dulunya kesetiaan yang pernah diucapkan padaku, tapi waktu dia berpaling dan meninggalkan aku begitu saja hanya airmata saban malam merawat duka.Semuanya pernah terbiar menjadi sebuah kisah sejarah luka dalam hidupku, Kesilapan dan keegoan ku menjadi kan aku tidak kuat untuk merampas kembali rasa yang indah itu dari orang lain.
Separuh jiwaku merelakan akan kepergian dirinya dgn keterpaksaan, karena aku takut jika separuh jiwa itu bersamaku akan mati bersama dengan kehilangan dirinya. Selalu aku tersenyum di depannya dan terkadang selalu menyimpan luka dibalik semua itu demidirinya.Tiada insan yang lebih baik dan terbaik melainkan dirinya dan dia amat ku perlukan dalam hidupku buat selamanya,

Aku pun tak mengerti kenapa hatinya boleh berubah. melupakan segalanya yang dia banggakan selama ini. Memilih sesuatu yang tak sepatutnya dia pilih Tidak langsung wujud rasa kasihan pada insan yang menyintainya setulus hati ku. Dia juga tidak lagi merasakan apa yang aku rasa. Namun aku tetap tidak memadam namanya di setiap lafaz doa ku
Maaf, setelah dia pergi dia lupa berkirim salam walaupun dia tahu aku sedang menunggu.