Diva Propa
Orang tua-tua selalu kata, jangan membenci orang nanti jadi suka. Jangan marah sangat pada orang nanti jadi sayang. Kata-kata ini sebenarnya kalau tak betul pun, ada rasionalnya. Orang tua yang makan garam dulu, banyak pengalaman. Kalau tidak ada kiasan, nasihat mereka tidak akan didengari.
Episod menjadi diva ini bermula ketika usiaku semanis 15. Ketika itu ayah mula bersara dari seorang anggota tentera yang agak berpangkat juga menjadi seorang peniaga. Ayah membina bunglow di satu kawasan yang agak jauh dikelilingi hutan dan kebun getah. Kata ayah, kawasan hutan amat sesuai untuk seorang pesara tentera. Sekurang-kurangnya kemahiran menembak ayah sentiasa terjaga. Kami bertiga adik beradik puteri-puteri ayah yang jelita dan permaisuri di hati ayah a.k.a mak aku tidak pernah membantah apa juga kehendak ayah. Selama ini ayahlah hero kami. Jadi tinggal di hutan belantara tidak menjadi ancaman pun kepada kejelitaan kami kerana kami tahu ayah lebih garang dari harimau. Ayah lebih agresif dari tarzan di hutan. Kami sentiasa rasa selamat bila ayah ada. Suara ayah sahaja sudah boleh membuat sang helang berkicau merdu. Bungalow kami dikelilingi pokok getah yang tidak lagi diusahakan oleh sesiapa. Aku akan ceritakan lebih terperinci tentang pokok getah ni dalam episod yang lain nanti. Banyak kisah berlaku dalam kebun getah ni sebenarnya.
Walaupun keluarga telah berpindah ke bungalow kami yang comel di tengah hutan. Namun aku tetap tinggal di kota kerana ayah tidak mahu persekolahanku terganggu. Justeru, aku tinggal di asrama, dan pada setiap hujung minggu sama ada mak dan ayah datang melawatku atau aku yang akan pulang ke rumah. Begitulah rutin sehingga aku tamat Tingkatan 5.
Nah, hari pertama aku tinggal di asrama, aku mula dikenali dan mendapat ramai kawan baru. Oleh kerana sebelum masuk ke asrama pun ramai yang sudah mengenaliku maka tidak hairan pada minggu pertama menjadi penghuni Aspuri sudah ada lima orang kakak-kakak di asrama itu yang berebut untuk mengambil aku menjadi adik angkatnya. Ini sebenarnya melemaskan aku. Aku tahu mereka tahu potensiku untuk jadi popular. Menjadi kakak angkatku pasti sedikit sebanyak tempias popular itu dapat pada mereka. Kawan-kawan yang sebaya aku Noi, Esah, Izah, Ani, Semah dan Ita sekali-sekala menyuarakan rasa cemburu kerana tidak ada seorang kakak pun menawarkan khidmat menjadi penjaga a.k.a “kakak angkat” untuk mereka. Sebenarnya sifat ‘diva’ ini dah pun terserlah hanya dengan namaku sahaja. Menyebut nama Diana Natasha Aleeya, sahaja sudah menampakkan perbezaan dengan nama kawan-kawan apatah lagi kejelitaanku. Disebabkan punya susahnya nak menyebut namaku zaman itu, hanya DJ Diva ala-ala Azuan Ali sahaja yang boleh menyebut namaku dengan betul, , aku hanya di panggil Diana sahaja. Kalau secara bertulis pun, disebabkan susahnya nak dieja nama itu ramai yang hanya tulis DNA sahaja. Walaupun kedengarannya seperti agak saintifik, tapi itu juga menunjukkan kelainan dan perbezaan ketara dengan yang lain. Bayangkanlah betapa glamornya aku junior baharu di Aspuri.
Minggu kedua di asrama aku terpaksa mengikuti minggu orientasi. Minggu yang sangat menyiksakan bagiku tetapi amat meninggalkan kesan dalam hidupku. Minggu ini juga menjadi titik tolak kejayaan aku merebut gelaran DIVA ini. Sepanjang minggu orientasi ini kami ‘freshie’ atau ‘new bee’ ini terpaksa mendapatkan tandatangan kakak-kakak senior dan abang-abang senior. Senior-senior pula, masa orientasi ini lah akan menunjukkan kekentalan jiwa mereka menjadi kejam atau bajet baik. Yang bajet baik tu, tidaklah menjadi masalah kepada ku kerana selesai mendapatkan tandatangan mereka, nama mereka terus hilang dalam ingatan. Kakak-kakak senior yang garang macam singa betina pun tidak menjadi masalah kepadaku kerana kemanjaan aku yang memang puteri bongsu dalam keluarga melumpuhkan emosi mereka yang garang itu. Paling tidak pun mereka hanya akan meminta aku menari. Aku dilahirkan dengan banyak kelebihan yang mendorong aku menjadi diva. Aku memang pandai menari, apa juga rentak aku boleh tarikan. Tak perlu Koreografer pun aku boleh hasilkan satu persembahan yang akan kekal dalam ingatan siapa sahaja penontonnya.
Masalah besar aku ialah mendapatkan tandatangan senior-senior lelaki di Aspura. Setiap hari kami freshie perlu berbaris dan menyanyi lagu tema orientasi sekuat hati kami dan sepenuh jiwa kami. Perkara ini lah yang paling aku benci kerana menyanyi cara bergitu mengancam kejelitaanku. Ia juga menghilangkan kemanjaan suaraku. Selesai menyanyi kami macam askar wanita yang tak lulus ujian pertama masuk ke dewan makan dan mengadap senior jantan yang macho dan sado kononnya. Lepas seorang demi seorang aku terpaksa berhadapan dan merayu untuk mendapatkan tandatangan. Perkara ini memang mencabar aku. Walaupun aku diva sifat pemalu tetap ada dalam jiwaku.
Ada yang bajet alim ulama, akan minta aku baca beberapa surah dan kalau tepat baharulah tandatangan diturunkan. Yang betul-betul beriman itu aku memang hormat sebab mereka dapat mengesan kesalahan bacaanku yang sengaja aku buat sebab nak juga tahu mereka ni betul ke pandai. Sifat seorang diva memang perlu menguji orang sekelilingnya supaya tidak dipergunakan dan kekal menjadi diva. Hampir semua senior lelaki telah kudapatkan tandatangan. Rasa malu pun sudah mulai terkawal.
Tiba giliran aku berhadapan dengan Ketua Orientasi a.k.a OC. Sebelum ini aku memang pernah dengar kisah OC yang garang tahap gila babas ni. OC ni katanya cepat meroyan dan suka denda freshie dengan hukuman gila yang mandatori. Tak ada pilihan. Dengar namanya sahaja dah buat orang gigil lutut, apatah lagi kalau menatap matanya. Sebaik sahaja aku diminta duduk dihadapanya. Aku keluarkan sekeping kertas, Senarai Nama dan Tandatangan. Aku tak kata apa-apa, hanya matanya kutatap tanpa senyuman. Melihat ketajaman sinar matanya aku cepat mengubah pandangan. Aku cuba mencari suara yang semanja mungkin supaya aku boleh dapatkan tandatangan tanpa banyak soal. “Abang tolong sign bang…” sambil kertas itu kuhulurkan.
Dia menyambut kertas itu tanpa banyak soalan. Wah! Berjaya cobaan pertama ku. Hampir sahaja aku mengukir senyuman, tetapi senyuman itu terpaksa kutelan sebaik dia bersuara. “Tuliskan surat cinta dulu baru boleh sign”.
Hah! Hampeh punya OC. Muka ganas tapi dalam hati ada taman. Kebanyakkan senior hanya suruh aku tulis ‘surat komen’ tapi yang ini ‘surat cinta’. Walaupun dua-dua surat aku tak suka, tetapi mengikut kesesuaian seorang diva, tulis surat cinta sudah pasti dapat mencairkan hati pembaca. Apatah lagi pembacanya Singa jantan yang kelaparan tidak ada siapa yang suka. Maka menulis surat cinta satu cabaran yang sesuai untukku.
Aku pun tak tahu apakah magis disebalik mata penaku. Begitu lancar ayat-ayat cinta dapat ku ilhamkan dalam Surat Cinta Pertama itu. Tanpa editor, sepucuk surat biru kuhasilkan dengan kalimahku sendiri khas buat abang OC yang sangat brutal tapi dalam hati ada taman. Surat itu kuhulurkan sendiri secara mata bertentang mata di saat percubaan kedua mendapatkan tandatangan. Pun begitu hati turut berdebar dan ada keraguan. Harap-harap dapatlah sign kali ini. Harap-harap dia tak “terperasan” lah dengan ayat-ayat cintaku yang paling mahal harganya itu. Harap-harap senarai tandatangan dapat dilengkapkan hari ini.
Dia membaca surat itu sambil sekali sekala matanya mencuri pandang pada ku. Ibarat salju disiram mentari, aku tahu hatinya cair. Sebaik tandatangan diturunkan, sepantas itu aku mengucapkan terima kasih lalu beredar. Kakiku melangkah dan terus lupa segalanya yang kutulis. Surat itu kekal tidak bermakna.
Tamat orientasi kehidupan di Aspuri telah dapat dikuasai. Segala rutin menjadi lancar. Pelajaranku juga semakin meningkat. Jarak dari pantauan mak dan ayah tidak melemahkan perjuangan dalam menuntut ilmu. Namun ada sesuatu yang sebenarnya menjadi pendorong kepada kekuatan semangatku tika itu.
Entah bagaimana dan saat mana atas usikan kawan-kawan pintu hatiku diketuk oleh seseorang. Seseorang yang aku sendiri tidak pernah menduga. Pada mulanya aku hanya sangka mungkin abang ex-OC ini hanya mulai tergoda dengan ayat-ayat cinta yang kuutuskan. Atau dia hanya menguji aku untuk melihat keseriusan ayat-ayat yang “power gila” berbunga cinta itu. Namun sejak balasan pertama ke atas surat cita palsu minggu orientasi itu ku terima, aku mulai menyedari ada rasa yang terbit di setiap bait kata-katanya dalam suratnya.
Oh tidak, tidak mungkin aku semudah itu menggadaikan ‘diva’ ku hanya kerana sehelai surat cinta. Kawan-kawan rapat mulai terbau haruman cinta diva ini. Ramai yang tidak merestui dengan alasan kami tidak ada persamaan. Oleh kerana bibit cinta ini tidak direstui kawan-kawan, aku mengambil langkah merahsiakan kehadiran surat biru itu. Namun dalam diam aku mula membuka pintu hatiku. Sejak itu kami berbalas kata melalui ayat-ayat cinta. Dalam masa yang sama aku tetap menjadi diva. Kehidupan di Aspuri dengan tiga orang kakak angkat, seorang abang angkat dan seorang adik angkat cukup menjadikan aku diva yang sangat disayangi walaupun aku lemas sebenarnya kerana di rumah sendiri pun dimanjai, di asrama pun terasa diperhatikan sepanjang masa.
Setahun berlalu suatu detik yang sangat bermakna dalam hidupku di usia 16 tahun, aku harus membuat keputusan. Esok dia akan berpindah sekolah, sedang cinta ketika itu masih berputik. Aku sangka mungkin di sinilah penamat cinta monyet ini. Aku harus berbuat sesuatu supaya dia menjadi lebih baik dan patuh pada agama. Aku mahu dia ingat cinta monyet dengan diva ini suatu yang amat bermakna dan suci sehingga boleh menjadi keramat dalam hidup dia.
Sebelum dia berpindah, aku mohon dia melaungkan azan di subuh terakhir dia di asrama. Mungkin selepas ini nanti dia akan sentiasa bersemangat untuk melaungkan azan dari rumahnya supaya dapatku dengar hingga di asrama. Permintaan ini kedengaran agak ‘propa’ tetapi maksud tersirat disebaliknya amat berharga. Sejak saat dia menyatakan dia akan berpindah lagi aku sudah merasai rindunya. Laungan azan itu nanti akan mengingatkan dia supaya tidak alpa pada solat. Bersedia untuk memimpinku sebagai ketua keluarga suatu hari nanti. Harapan itu yang ingin kusampaikan melalui permintaan yang ‘propa’ lah sangat.
Sebaik sahaja dia tidak ada di Aspura lagi, kawan-kawan semua seakan lega. Lega kerana tidak melihat kami mencuri pandang tatkala waktu makan. Lega kerana tidak kedengaran “Diana, Man kirim salam!”. Atau “ Diana, nah Man bagi ni”. Tetapi segalanya belum berakhir. Aku mula dihujani panggilan telefon. Sehingga terciptalah lagu “Hello! Is it me you’re looking for?” nyanyian Lionel Richie khas untuk cinta seorang DIVA ini (Kau ado?). Tak cukup mendengar suara, kami berbalas-balas surat cinta. Dasar seorang diva, kehidupan orang glamor tidak bermakna jika tidak ada surat peminat. Surat-suratnya hadir tidak pernah putus. Hari ini kubalas esok kuterima lagi. Sehingga suatu hari aku tidak terima suratnya lagi. Kusangka cahaya DIVA ku sudah luntur. Sangkaan ku meleset kerana rupanya surat-surat itu sudah ditapis oleh guru disiplin sekolah. Ayat-ayat cintanya yang sangat PROPA itu tidak melepasi tapisan itu. Aku tidak pernah dipanggil oleh cikgu S kerana aku tahu cikgu memahami status DIVA yang kupenggang sejak Tingkatan Satu. So, ‘ada aku kesah’ semua itu?
Namun demi meneruskan hubungan dengan seorang diva ini, dia menghantar diarinya kepadaku. Sejak itu kami mulai sekali sekala bertukar diari. Entah semangat apa yang mendorong kami berbuat begitu. Walhal cerita dalam diari itu hanyalah rutin biasa seorang remaja sekolah. Yang membezakannya hanya aktiviti yang kami lakukan. Dalam diarinya sudah tentu mencatatkan rutin harian remaja lelaki, dan dalam diari ku sudah tentu cerita seorang diva yang masih sekolah dan kehidupan di asrama. Namun hanya kami yang tahu di mana tersimpan rasanya. Setiap baris cerita dalam diari tersebut ada rahsia suara hati yang setara rasanya.
Saban tahun kami menyulam cinta dengan cara yang amat sempurna. Tidak pernah ada sengketa. Marah-marah sayang itu perkara biasa. Cnta dia telah meletakkan tahap diva ku lebih terhormat. Tidak ada siapa yang berani untuk mencuba nasib merebut hatiku. Walaupun kawan-kawan tidak pernah tahu sedalam mana makna rasa yang kami tafsirkan tetapi mereka tahu ada haruman cinta yang sama antara kami.
Ketika usiaku mencapai tahap ‘sweet 17’, dia mula menemukan aku dengan ahli keluarganya. Orang pertama yang dia kenalkan ialah bapanya (dia panggil Abah so aku pun panggil Abah juga). Aku tak tahu sama ada aku memang DIVA atau dia guna ayat-ayat PROPA untuk melembutkan hati Abah. Abah senyum meleret menyambut aku di pejabatnya. Hari berganti hari sehingga semua ahli keluarganya sudah kukenali termasuklah semua pekerja Abah. Aku bukan sahaja dilayan sebagai seorang puteri malah seperti seorang DIVA oleh keluarganya. Pernah kami keluar ‘dating’ naik kereta ada ‘driver’ lagi. Kami berdua di belakang hanya bagi arahan di mana nak berhenti. Abah dan Mak dia tidak menghalang cinta kami kerana mereka tahu cinta itu tidak merosakkan pelajaranku. Aku berjaya cemerlang dalam SPM dan Mak dia menjadikan kejayaan aku sebagai bahan untuk dileterkan kepada dia yang tidak kuat semangat untuk fokus dalam pelajaran. Ibarat Surat cinta pandai tulis nak kira duit hantaran kena minta bantuan mesin kira (kantoiii).
Cinta yang diresuti itu terus menguntum dan semerbak baunya. Ringkasannya apa sahaja yang aku mahu dia turutkan. Bukan setakat kupaskan kulit limau sahaja malah korbankan cinta ini pun dia sanggup jika itu yang kupinta. Semuanya adalah kerana dia sayangkan aku. Dia memang ketara sangat sayangkan aku. Mujurlah tahap divaku terkawal lagi… kalau lah aku minta dia belikan emas berjongkong pun, sudah tentu dia berusaha dapatkan. Begitulah tiga tahun permulaan bibit cinta kami. Cinta yang tidak pernah padam.
~DNA~
Oktober - senja yang tidak nampak “Sun Set”
AMARAN:
Cerita ini tidak ada kena-mengena dengan sesiapa. Walaupun nampak macam cerita benar tapi ada banyak tokok tambah kerana ditulis dengan cara yang sangat PROPA demi memenuhi syarat untuk menumpang blog “Raja Propa”
diva tuh bohong. Cerita ni takder tokok tambah pun. Memng tuh lah realiti yg dia hadapi. Nak sgt jadi diva propa konon....patut la bf takut nak berjuang...
ReplyDeleteHamboi.... sah dah Raja Propaa kann
ReplyDelete