Tuesday, 6 October 2015

MAAFKAN CHENTA

05.  Maafkanlah


Ampunkanlah untuk kesekian kalinya. Meskipun tidak selayaknya begitu.


Awak, entry awak yang itu sangat memberi kesan pada saya.  Saya sangat sayang mereka berdua… setiap kali jumpa, saya dilayan istimewa. Saya ingat lagi masa awak bawa jumpa arwah abah awak buat pertama kali di pejabat dia.  Senyuman dia meleret dan sangat mesra.  Sejak itu saya yakin awak tidak main-main.  Keyakinan itu bertambah bila saya mula mengenali hampir setiap ahli keluarga awak. Tiap kali singgah rumah awak pun arwah mak awak sangat mesra.  Saya tidak merasa kekok pun walhal saya bukanlah jenis peramah. Saya juga dapat rasakan mereka sayang pada saya. Apa sahaja tingkah saya, semuanya cantik di matanya. Adik awak pun kian akrab dengan saya. Saya tidak lupa saat saya memberitahu keputusan SPM saya kepada mak awak. Riak kegembiraan di wajahnya sama seperti mak saya adalah hadiah buat saya.  Awak pun tak kurang baiknya. Tidak pernah mengambil kesempatan atas saya. Kehormatan saya tetap terjaga.

Saya tahu awak tidak akan lupa saat aidil fitri suatu ketika dulu, kunjungan mak dan ayah saya ke rumah awak. Tika itu saya yakin dan pasti kita semua akan menjadi satu keluarga.  Kunjungan ini pasti menjadi permulaan kepada kunjungan seterusnya.  Selepas itu saya tidak pernah takut. Tidak pernah terfikir bagaimana laluan hidup saya.  Tidak pernah kisah apa yang akan muncul di hadapan. Gadis belasan tahun ini hanya menurut langkah kaki sedang tangan dipimpin oleh orang yang sangat dipercayai.  Saya seolah-olah berlindung disebalik bayang-bayang awak. Tanpa saya sedari bayang-bayang tidak muncul tanpa cahaya.

Seperti kata awak, langit tidak selalu cerah. Tiba saat mendung datang, bayang-bayang awak kelihatan amat samar dan sukar untuk saya berlindung. Saya yang ketika itu sedang kecewa kerana permohonan untuk ke universiti di tolak sedang awak melangkah ke menara gading. Sepatutnya saya tumpang gembira dan tanam semangat menghabiskan pengajian di sekolah. Tapi semua berlaku sebaliknya. 6 tahun bersama tak pernah rasa curiga atau cemburu. Tapi kali ini sangat mencabar. Saya mula berfikir tentang masa depan. Tentang bagaimana membalas jasa mak dan ayah. Kepayahan ayah menanggung keluarga membuat saya bertindak untuk segera bekerja.

Bila keputusan dibuat, saya nekad. Saya yakin semuanya akan baik-baik belaka. Terbukti tahun pertama kita makin mesra. Jarak tidak pernah menjadi pemisah. Berkirim khabar walaupun temponya sudah mulai berbeza. Saling berkunjungan walaupun ceritanya bersulam curiga. Adat orang bercinta, luka sedikit sakitnya tidak terkira. Apatah lagi cinta diusia muda. Semakin hari saya semakin resah. Saya pun sudah jarang mendengar cerita keluaraga awak.  Kerana kita banyak cerita tentang kehidupan, suasana dan teman-teman baharu.  Sedikit demi sedikit perkongsian cerita baharu itu menerbitkan cemburu. Saya mula berteka teki mencurigai hati dan rasa.  Kebiasaan anak gadis yang mula menginjak dewasa, pasti ada mata yang mengekorinya. Ada tamu mengetuk pintu hatinya.  Walau hati dan rasa diduga tapi masih terpelihara cuma bibir sering menafikannya. Saya mula berkira-kira dan  mengiakan kebenaran kata-kata awak sebelum ke menara gading dahulu. Ada baiknya jika kita hanya teman biasa.  Dalam ragu saya menduga. Bukan hanya ingin menduga hati awak tetapi lebih menduga hati sendiri sebenarnya. Tiga persoalan yang membuatkan awak berlari mengatur sejuta langkah.  Tapi larian itu sia-sia.  Saya sedikit pun tidak memperdulikan kisah semalam yang indah. Saya tidak ingat langsung wajah-wajah kesayangan yang menjadi pendorong cerita kita. Saya lupa raut kasih mak dan abah awak. Malah saya lupa semuanya. Yang pasti ketika itu bak kata awak… saya ingin terbang ke awan.

Kehidupan saya berubah sekelip mata selepas detik itu. Ibarat baharu pandai berenang sudah berimpian menyeberangi lautan. Tiba di tengah lautan dipukul gelombang, terkapai-kapai mencari pelampung sedang fikiran alpa pelampung telah ditinggalkan di pantai. Ingin kembali ke pantai sayang pantai pasir berubah. Hanya melihat dari kejauhan pelampungnya telah diambil orang. Jika dahulu menasihati awak, ratapan awak hanyalah seperti anak kecil kehilangan boneka. Jatuh awak bertongkatkan paruh.  Kenangan kita itu  ibarat debu-debu yang boleh hilang hanya dengan tiupan angin.  Tahukah awak… setiap bait kata-kata saya itu datang menghiris-hiris hati saya sendiri.

Diringkaskan ceritanya,  selepas membaca coretan awak… hati saya runtuh. Jiwa terasa kotor dan jijik. Air mata yang tumpah tidak bisa membasuhnya.  Bagaimana mungkin dapat menyembah memohon ampun sedang mereka telah pergi.  Hanya ayat-ayat suci  Al Fatihah yang bisa dihadiahkan atas kasih sayang mereka. Rahsia itu melembutkan hati saya untuk memanggil awak setelah tiga dekad berlalu. Rasanya ucapan terima kasih tidak setimpal untuk awak yang banyak menutup aib saya.  Penghormatan awak pada saya terlalu tinggi melebihi kesucian hati awak. Untuk kesekian kalinya saya benar-benar seikhlas jiwa memohon ampun atas segala perbuatan, tutur kata, sekelip pandangan mahu pun sehela nafas yang amat melukakan.

Seolah tersedar dari lena yang panjang. Benarlah suara hati selama ini yang pertama itu masih di situ. Rasa itu masih tebal.  Selagi air mata boleh mengalir kerana mengingati kenangan itu, selagi itu lah dia kekal di situ. Justeru, Biarkanlah aku menangis…

Dna
1 Oktober

No comments:

Post a Comment